Baik Punya

Khamis, 6 Ogos 2009

Selsema Maut Selsema Babi

Dah dekat seminggu aku demam bercampur sakit tekak dan batuk. Bila aku dengar menularnya penyakit selsema babi, aku panik juga. Maka aku pergi juga ke klinik untuk mendapatkan kepastian dari doktor yang bertauliah. Mana tau kot-kot boleh dapat MC.

Bila aku berjumpa doktor, aku terangkan masalah-masalah yang aku ada. Bila doktor cek, dia kata biasa je ni. Ini mungkin disebabkan jerubu yang teruk sekarang ni. Oleh kerana doktor tu dengan yakin berkata demam dan batuk ni hanya disebabkan oleh jerubu, maka aku rasa lega. Aku bertanya pada doktor tentang penyakit selsema babi. Sebab sintom-sintom yang aku ada tu macam yang tertulis di laman web WHO, mungkin selsema babi. (http://www.wpro.who.int/health_topics/h1n1/overview.htm)

Tetapi doktor jawab “Sebenarnya saya pun tak tahu macamana nak tau orang tu kena H1N1 atau tak.”

Apa bila doktor sendiri tak dapat nak pastikan seseorang itu sudah terkena jangkitan atau tidak, macam mana dengan orang yang bukan doktor?

Dulu semasa negara kita terkena wabak Japanese encephalitis(JE), kerajaan tanpa segan silu pergi ke kandang-kandang babi untuk membunuh babi-babi yang tak berdosa tu. Maka ramai pengusaha-pengusaha babi yang mendapat pampasan dari hasil korban babi. Seperti biasa kerajaan Malaysia akan buat lawak apabila mangsa korban manusia tak dapat pampasan sesen pun.

Kemudian negara kita dikejutkan dengan wabak selsema burung. Seperti biasa, kerajaan tanpa segan silu akan pergi ke raban-reban ayam dan itik untuk melaksanakan bidaah korban. Ramai juga yang kena saman pasal sorok burung-burung kesayangan dari kena bunuh. Begitu seriusnya kerajaan untuk mengelak rakyat Malaysia dari menjadi korban selsema burung.

Tetapi apabila selsema babi menyerang Malaysia, apakah tindakkan kerajaan?

Sehingga hari ini, kerajaan tidak menyarankan orang ramai memakai topeng kesihatan. Berapa kali muka depan surat khabar yang meminta orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan? Seperti yang saya baca surat khabar hari ini banyak menceritakan tentang masalah demonstrasi jalanan dari puak-puak pembangkang dan kes kematian setiausaha yang juga dari pembangkang.

Negara kita hadapi satu wabak yang amat merbahaya. Sudah lapan orang mati dan beribu orang dikenal pasti terkena wabak ini. Mengapa harus media menceritakan tentang cerita-cerita hiburan politik daripada menceritakan akibat wabak maut ini?

Berapa orang di dalam Malaysia tahu tentang wabak ini boleh berjangkit melalui cecair yang keluar dari mulut atau hidung kita? Sekali kita bersin, orang depan kita dusah tentu akan terkena titisan dari mulut kita. Betapa mudahnya penyakit ini bergerak. Seharusnya kerajaan menyaran akhbar-akhbar untuk meletakkan berita wabak ini di muka hadapan. Jangan kerana takut pelancong tidak datang ke Malaysia, rakyat kita mati katak tanpa pendedahan. Sedangkan pelancong-pelancong dari luar inilah yang menyumbang wabak ini datang ke sini.

Sebagai bapa, saya amat risaukan keselamatan anak-anak, isteri, keluarga dan kawan-kawan. Baru tadi ibu jiran saya meninggal di hospital Sungai Buloh kerana sesak nafas (juga sintom H1N1). Dan mungkin ia juga berpunca dari selsema babi. Semalam dia sihat, cuma batuk-batuk sikit. Mungkin ibu jiran saya adalah mangsa yang kesembilan.

Kurang pendedahan merupakan faktor utama yang menyebabkan kita sedar bahawa kita sudah terlambat untuk melakukan tandakkan yang sewajarnya. Oleh itu, kita perlu melakukan sesuatu demi mengelakkan kita atau keluarga kita dari menjadi mangsa panyakit maut ini.

Tiada ulasan :

ohbelog.com